Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 Mac. - Dalam sama-sama mengambil berat serta menzahirkan sikap prihatin terhadap kebajikan anak-anak yatim dan yang memerlukan di negara ini, Rizqun International Hotel dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) lewat petang tadi mengadakan Majlis Iftar Ramadan bersama anak-anak yatim dan golongan memerlukan yang terdiri daripada para pelajar persekolahan Arab dan ugama bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Songket Ballroom, hotel berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad dan isteri.
Turut hadir, Setiausaha Tetap KHEU, Awang Haii Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Nor Ashikin binti Haji Johari.
Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Dr. Siti Norkhalbi bin Haji Wahsalfelah; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim serta pegawai- pegawai dari JPI, KHEU.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, Surah Yaa Siin, Tahlil serta Doa Arwah yang dipimpin oleh Awang Mohammad Zamery Haji Nayan dari JPI.
Majlis diteruskan dengan penyerahan sumbangan derma kepada seramai 143 pelajar sekolah Arab dan ugama yang terdiri daripada golongan anak-anak yatim dan pelajar memerlukan.
Penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat dan turut disusuli oleh wakil Abdul Razak Holdings serta para tetamu dan hadirin yang lain. Majlis tersebut merupakan salah satu amal infak oleh pihak Abdul Razak Holdings bersempena mengambil keberkatan bulan Ramadan.
Inisiatif ini secara tidak langsung dihasratkan membantu meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, di samping bersama-sama mendoakan mereka yang telah kembali ke rahmatullah khususnya ibu bapa dan penjaga anak-anak yatim serta umat Islam amnya.